Ketika wabak Covid-19 memuncak, Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang antara lain telah menyebabkan institusi pendidikan termasuk sekolah terpaksa ditutup dan kanak-kanak di negara ini kehilangan 242 hari persekolahan. Akibat langkah penutupan ini, medium pendidikan beralih secara dalam talian dan memerlukan akses internet serta keberadaan peranti seperti komputer riba, telefon pintar dan tablet. Berdasarkan kepada anggaran yang dibuat oleh Untuk Malaysia (UM), lebih 1.8 juta kanak-kanak di negara ini tidak mempunyai akses internet dan berdepan risiko keciciran.
Sehubungan itu, sebagai rasa tanggungjawab untuk membantu kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun yang masih tidak dapat menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) dengan baik, UM telah menggerakkan inisiatif yang dijenamakan sebagai Kelas #KitaBaca. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif utama UM dalam kerangka Projek Selamatkan Murid Cicir 2021. Kelas #KitaBaca antara lain turut bermatlamat untuk memenuhi dan membantu perkembangan emosi kanak-kanak serta menerapkan nilai keseronokan dalam amalan membaca dan mempelajari sesuatu yang bermanfaat.
Sepanjang tahun 2021, sebanyak tiga fasa Kelas #Kita Baca berjaya dilaksanakan dan UM telah menggerakkan fasa keempat kelas ini pada bulan Mac 2022 serta diikuti dengan projek perpustakaan mini di rumah murid-murid yang telah bergraduasi.
Seramai 343 murid cicir telah disuaipadankan dengan Changemakers atau sukarelawan untuk mengikuti kelas ditetapkan dan setakat bulan Februari 2022, 81 murid telah dapat membaca dengan lancar. Secara keseluruhannya terdapat 163 Changemakers daripada pelbagai latar belakang terlibat dalam program ini. Mereka yang dipilih untuk mengajar dilatih secara intensif menggunakan teknik Read Aloud oleh Konsultan Pendidikan terkenal, Dr Putri Afzan Maria yang juga pemilik kepada rangkaian pusat pendidikan KinderKaizen.
Pandemik Covid-19 yang melanda ini telah memberi kesan yang sangat signifikan kepada pendidikan anak-anak di negara ini terutamanya anak-anak keluarga B40 dan M40 M1 di bandar. Anak-anak yang keciciran kemahiran 3M akan hilang minat untuk meneruskan pembelajaran mereka dan dikhuatiri terus tercicir dari sistem pendidikan nasional di masa depan. Pada tahun 2020 ketika wabak Covid-19 mula melanda, seramai 21,316 murid telah disahkan cicir daripada sistem oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. UM menjangkakan jumlah ini boleh meningkat sehingga empat kali ganda jika tiada pelan pemulihan yang serius oleh kerajaan dan usaha sama teguh antara korporat dan masyarakat digerakkan segera.
UM mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini terutamanya rakyat Malaysia yang telah menyumbang kepada Projek Selamatkan Murid Cicir 2021.