Search
Close this search box.

Risiko Kemiskinan Pembelajaran Akibat PdPR Dan Cadangan Kepada KPM

SAYA bukanlah seorang yang terlalu pintar untuk memandai-mandai memberi cadangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Bahkan saya juga bukanlah seorang yang agak penting di kalangan masyarakat sehingga KPM perlu menerima cadangan yang bakal saya kemukakan ini.

Tetapi sebagai seorang rakyat biasa, sebagai seorang bapa kepada anak yang masih kecil, sebagai seorang suami kepada seorang guru serta sebagai individu yang telah bergulat dengan isu pendidikan selama 16 tahun, pernah mengajar di sekolah lebih dari 6 tahun, berjumpa dengan pelbagai golongan melalui 3 NGO pendidikan serta sebagai seseorang yang pernah menjawat jawatan sebagai pegawai dasar di Pejabat Menteri Pendidikan – saya fikir paling kurang cadangan yang bakal saya kemukakan ini mempunyai sedikit merit.

Hari ini kita semua maklum, akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan maka sekolah hampir mustahil akan dibuka dalam masa terdekat. Bahkan jika melihat kepada trend bilangan kes saban hari, hampir pasti sekolah akan kekal tutup paling tidak sehingga selepas Ramadan dan Syawal selesai.

Ini bermakna kita semua akan menyaksikan anak-anak belajar di rumah dan guru melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama beberapa bulan ke depan.

Kurangkan Subjek Dan Bina Kurikulum Pandemik

Jika ini senario terbaik yang kita ada, saya ingin mencadangkan kepada KPM untuk memulakan eksperimen PdPR yang tidak pernah kita semua lalui ini dengan mengurangkan subjek pembelajaran murid terlebih dahulu.

Ini boleh dilakukan dengan membina kurikulum khas sempena pandemik ini berlaku. Saya berpendapat ketika ini, hanya subjek teras yang asas sahaja kekal untuk diajarkan kepada murid-murid.

Subjek asas yang penting seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains perlu diutamakan untuk memberi lebih banyak masa digunakan bukan sahaja untuk mencapai tahap kefahaman murid yang optimum, tetapi juga agar lebih banyak masa dapat digunakan untuk mengulangkaji bab tahun lalu (2020) yang seringkali terganggu akibat PKP.

Subjek lain seperti Pendidikan Jasmani, Pendidikan Agama, Seni, Muzik, Sejarah, Kemahiran Hidup dan bahasa lain boleh dibuat penataran semula agar kurikulum boleh disambung ketika pandemik telah selesai setelah semua rakyat diberi vaksin kemudian nanti.

Bahkan guru yang tidak mengajar subjek teras ini boleh digunakan untuk membantu guru mengajarkan subjek terbabit, menjadikan jumlah murid dalam sebuah kelas lebih kecil. Ini juga membolehkan lebih banyak guru digunakan untuk fokus membantu murid mengejar pembelajaran yang terlepas pada tahun lalu.

Kurikulum Pandemik adalah sebuah kurikulum khas, bersifat sementara serta memberi keutamaan kepada beberapa bahagian penting subjek teras untuk memastikan murid menguasai sebilangan kecil kemahiran tersebut secara optimum.

Buka Sekolah Daerah Hijau Dan Bantu Guru Semak Keadaan Mental Murid

Saya juga ingin mencadangkan agar KPM terbuka untuk membuka mana-mana sekolah dalam derah hijau serta yang berada di pedalaman yang jauh dari jangkauan jangkitan Covid-19.

Ini boleh dilakukan jika KPM bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan berkongsi data berkenaan kluster-kluster terbaharu. Dalam masa yang sama SOP perlu diketatkan, setiap murid dan guru yang hadir wajib dilakukan saringan.

Bahkan KPM boleh memulakan kaedah ini dengan melaksanakan penggiliran jadual. Misalnya hanya Tahun 1 & Tahun 4 sahaja hadir ke sekolah pada hari Isnin dan seterusnya. Ini membolehkan murid hanya hadir ke sekolah selama 2 hari seminggu.

Tetapi kaedah pengajaran bersemuka ini penting kerana hanya pada masa ini sahaja guru boleh bertemu dengan murid, memberi tugasan dan memberi perincian pengajaran. Guru juga boleh memeriksa keadaan mental dan kesihatan murid dan memastikan murid masih bersemangat untuk meneruskan sesi pembelajaran.

Melalui kaedah ini, guru dan murid masing-masing mempunyai masa untuk saling bertemu secara semuka, memberi tugasan dan menyemak tugasan yang telah selesai serta memberi ruang kepada murid untuk bertanya kepada guru.

Perkasa TV Dan Radio Pendidikan, Guna Peruntukan RM60 Bilion Beri Laptop & Internet Percuma Kepada Murid

Saya juga ingin mencadangkan agar 2 saluran TV rasmi Kerajaan iaitu TV1 & TV2 sepenuhnya digunakan untuk menyiarkan bahan pengajaran kepada anak-anak. Saya percaya dua stesen ini adalah antara stesen paling banyak capaian termasuk di kawasan pedalaman.

Jika KPM boleh bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi & Multimedia (KKMM) untuk menggunapakai dua saluran televisyen dan berbelas rangkaian radio di seluruh negeri, ini akan membolehkan lebih banyak capaian pendidikan dapat disalurkan ketika ramai warga B40 terhad dalam isu capaian & akses kepada internet.

Dengan menggunakan rangkaian TV & Radio RTM, tiada implikasi kewangan tambahan akan ditanggung oleh pihak Kerajaan.

Dalam masa yang sama, lebih banyak laptop & tablet harus diberikan oleh KPM kepada lebih dari 1.6 juta anak murid yang dilaporkan tidak mempunyai akses kepada PdPR kerana ketiadaan peranti yang sesuai. KPM tidak boleh lagi menunggu dana dari swasta mahupun sumbangan awam kerana kini PdPR telah menjadi sistem pendidikan arus perdana yang harus dilalui oleh semua.

Kita semua maklum belanjawan KPM setiap tahun yang mencecah 50 ke 60 bilion setiap tahun kini boleh digunakan sepenuhnya untuk membantu memberi akses kepada mereka yang memerlukan.

Beri Autonomi Guru Laksana PdPR Dan Batalkan SPM

Untuk sekolah yang berada di kawasan merah dan sekolah tidak dapat dibuka pula, KPM harus memberi autonomi kepada guru untuk melaksanakan PdPR mereka tanpa sebarang tekanan.

Guru harus melaksanakan PdPR berdasarkan pelbagai pembolehubah lain seperti kesediaan anak murid, kemampuan keluarga berdasarkan jumlah peranti di rumah, talian internet dan beberapa isu lain lagi seperti kehadiran ibu bapa yang menyokong sistem pembelajaran anak-anak.

Oleh yang demikian guru tidak boleh dibebankan dengan pelbagai birokrasi lain seperti pengisian pelaporan yang pelbagai oleh JPN & PPD. Sebahagian besar masa guru haruslah diperuntukkan untuk membina bahan & modul PdPR yang sesuai, sama ada online sepenuhnya, hibrid ataupun pek pembelajaran offline seperti penghantaran tugasan ke rumah murid.

KPM juga harus berani untuk membatalkan SPM dan peperiksaan penting yang lain. Ini terpaksa dilakukan kerana sehingga hari ini, pelajar calon SPM berdepan dengan ketidakadilan akibat gangguan pembelajaran.

Anak keluarga di bandar dan warga berpendapatan tinggi akan mempunyai kelebihan kerana mempunyai peranti dan talian internet untuk meneruskan pembelajaran. Sementara anak miskin di pedalaman pula tidak mempunyai peluang yang sama untuk menghabiskan silibus masing-masing.

Saya percaya sebuah peperiksaan yang setara dengan SPM boleh dilaksanakan mengikut kapasiti dan kemampuan sekolah, guru dan murid berdasarkan lokaliti masing-masing untuk menggantikan SPM. Ini dilakukan oleh banyak negara lain seperti UK, Norway, Republik Czech, Hong Kong, China, India, Ireland, bahkan International Baccalaureate (IB), SAT di US dan juga Indonesia, semuanya membatalkan peperiksaan besar negara masing-masing dan menggantikannya dengan peperiksaan setara yang lebih sesuai.

Kesan Jangka Panjang ‘Learning Poverty’

World Bank baru-baru ini telah memperkenalkan istilah ‘learning poverty’ atau ‘miskin pembelajaran’ yang merujuk kepada keadaan apabila lebih lama krisis pendidikan berlangsung akibat pandemik Covid-19 ini.

Dalam laporan mereka bertarikh 22 Januari 2021, mereka mendedahkan untuk setiap 100 anak-anak, 63 berpotensi mengalami ‘miskin pembelajaran’ ketika pandemik Covid-19 ini selesai kelak. Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk ‘Urgent, Effective Action Required to Quell the Impact of COVID-19 on Education Worldwide’.

Ini bermakna untuk 4.8 juta anak yang bersekolah di negara kita hari ini, sekitar 3 juta anak-anak akan mengalami ‘miskin pembelajaran’ setelah pandemik ini berlalu nanti.

Ini sudah pasti konsisten dengan dua laporan Unicef. Yang pertama bertajuk ‘Averting A Lost Covid Generation’ terbit pada November 2020 dan yang terbaru bertajuk ‘Prospects for children: a global outlook through 2025’, terbit pada Januari 2021 yang lepas.

Saya memetik laporan dari dua organisasi ini kerana selain kredibiliti, ianya boleh diakses oleh orang awam dan dibaca oleh semua. Saya percaya di luar sana lebih banyak kajian dan laporan dikeluarkan oleh pelbagai institusi. Namun yang lebih penting adalah bagaimana pembuat polisi dan kumpulan pemikir di KPM khususnya Pejabat Menteri Pendidikan menanggapi masalah yang sedang kita hadapi dan cara penyelesaiannya.

Adakah kita sudah terlambat?

Saya berpendapat tidak. Kita belum terlambat. Masih ada ruang untuk kita baiki bersama-sama jika kita semua ikhlas memikirkan kepentingan anak bangsa yang hari ini sedang berada di ambang ‘kemiskinan pembelajaran’.