Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di dalam laporan terbaru mereka bertajuk ‘Preventing A Lost Decade’ yang terbit awal Disember 2021 baru-baru ini, kurang dari dua tahun setelah seluruh dunia terjejas dengan pandemik COVID-19, lebih 100 juta kanak-kanak terjerumus dalam kancah kemiskinan, meningkat 10 peratus sejak 2019.
Senario ini menurut UNICEF, akan mengambil masa tujuh ke lapan untuk pulih dan kembali kepada keadaan sebelum COVID-19.
Bahkan sebelum pandemik, sekitar satu bilion kanak-kanak seluruh dunia telah pun mengalami pelbagai kekurangan kritikal sama ada tiada akses kepada pendidikan, kesihatan, rumah, air dan kebersihan mahupun masalah malnutrisi.
Dalam konteks pasca-pandemik, negara dan pembuat polisi di Kementerian Pendidikan kini berdepan dengan beban tanggungjawab yang maha besar iaitu:
Meletakkan kepentingan kanak-kanak sebagai yang utama dalam setiap pelaburan dan yang terakhir dalam setiap pemotongan bajet.
Kehilangan Pembelajaran Dan Tiada Latihan Guru
Dalam sebuah dokumen yang lain pula, UNICEF, World Bank dan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menerbitkan sebuah terbitan bersama pada 3 Disember 2021 bertajuk ‘The State of the Global Education Crisis; A Path To Recovery’ menyatakan krisis pendidikan akibat kehilangan pembelajaran sangat memberi kesan kepada anak-anak terutamanya kepada anak-anak marginal dan mereka yang lebih muda.
Laporan ini menyatakan anak-anak di Sao Paolo, Brazil hanya belajar 28 peratus daripada apa yang sepatutnya mereka pelajari secara bersemuka di sekolah dengan risiko keciciran meningkat tiga kali ganda. Di pedalaman Karnataka, India pula peratusan anak gred tiga untuk membuat operasi mudah matematik turun kepada 16 peratus sahaja pada tahun 2020 daripada 24 peratus pada 2018.
Krisis kehilangan pembelajaran yang secara puratanya menyebabkan sekolah ditutup lebih dari 224 hari di seluruh dunia ini kemudiannya merebak menjadi krisis jurang ekonomi pula.
Di kebanyakan negara berpendapatan rendah dan sederhana, guru tidak mendapat latihan yang diperlukan untuk menjalankan kelas secara dalam talian. Ini menyebabkan mereka tidak bersedia untuk berubah dari mengajar secara bersemuka kepada mengajar di depan laptop dan komputer.
Jurang Semakin Lebar, Lebih Setengah Juta Tak Cukup Nutrisi
Hasilnya, anak-anak murid menerima perubahan ini berbeza mengikut status sosio-ekonomi keluarga masing-masing. Anak murid dari keluarga berpendapatan rendah dan miskin hampir tidak menerima manfaat daripada pembelajaran dalam talian kerana pelbagai masalah lain seperti ketiadaan talian internet yang stabil serta ketiadaan peranti seperti laptop.
Kerana itu, menurut laporan ini, anak-anak kecil dan mereka yang mempunyai kelainan keupayaan adalah golongan yang sama sekali tidak mendapat faedah ketika sesi pembelajaran dalam talian berlangsung dan tercicir daripada polisi pembelajaran jarak jauh ini.
Dalam masa yang sama, semua kemajuan yang telah dicapai sebelum ini semuanya menjadi sia-sia. Misalnya sekolah bukan sahaja menyediakan ruang untuk murid-murid belajar, tetapi dalam masa sama adalah kawasan paling selamat dan sihat untuk anak-anak.
Di seluruh dunia, lebih 370 juta anak-anak tidak mendapat makanan sihat yang sepatutnya mereka dapatkan ketika sekolah dibuka. Di negara ini, lebih setengah juta anak-anak bergantung penuh kepada Rancangan Makanan Tambahan (RMT) setiap hari untuk mendapatkan nutrisi sihat yang tidak mereka dapatkan ketika berada di rumah. Ini bermakna lebih dari setengah juta anak-anak tidak mendapat cukup nutrisi ketika sekolah ditutup kerana PKP tempoh hari.
Langkah Pertama, Mengaku Wujudnya Krisis Pembelajaran Dan Dedahkan Data
Satu-satunya langkah ke depan ketika kita berdepan dengan krisis pembelajaran kini adalah dengan mengakui wujudnya masalah dan memulakan langkah untuk membuat kerja-kerja pemulihan pasca-pandemik.
Antara langkah yang boleh dimulakan hari ini adalah dengan membuat penilaian tahap pembelajaran murid di sekolah. Walaupun beberapa negara telah memulakan proses dokumentasi kesan kehilangan pembelajaran dalam subjek Matematik dan kemahiran membaca melalui beberapa instrumen seperti gred, subjek dan karakter murid, bukti kehilangan pembelajaran masih sangat sukar untuk diperolehi.
Pihak kementerian, pentadbir sekolah dan guru harus segera membina data status pembelajaran murid dan panilaian tahap kemahiran berpandukan tahap sebelum pandemik untuk diukur pasca-pandemik.
Data ini harus mencerminkan konteks dan situasi mengikut kategori sosio-ekonomi dan lokasi untuk memastikan proses pemulihan pembelajaran murid boleh dilaksanakan segera dan mengurangkan impak kehilangan pembelajaran kepada murid. Selain berguna untuk guru dan pentadbir sekolah, data penilaian kemahiran dan peratusan kehilangan pembelajaran akibat pandemik ini juga harus didedahkan kepada masyarakat.
Dengan mendedahkan magnitud krisis pembelajaran ini, masyarakat secara seluruhnya akan saling bantu-membantu untuk mempercepat proses pemulihannya.
Jawatankuasa Pelan Pemulihan Pendidikan Pasca Pandemik
Kehilangan pembelajaran juga boleh menimbulkan kesan berganda sekiranya tiada program pemulihan dalam kaedah pengajaran di dalam kelas. Ini boleh berlaku sekiranya keperluan pembelajaran murid tidak sesuai dengan kurikulum dan sistem pengajaran normal.
Kajian ketika gempa bumi di Pakistan pada 2005, mendedahkan tanpa sebarang langkah pemulihan, kehilangan pembelajaran akan menjadi semakin kritikal setelah sekolah dibuka kerana sekolah tidak menyesuaikan kurikulum dan sistem pengajaran yang sesuai dengan keperluan murid. Antara program pemulihan pembelajaran yang boleh dilaksanakan adalah seperti melanjutkan masa pengajaran, pengajaran bersasar, pedagogi berstruktur serta tunjuk ajar kumpulan kecil.
Ini semua harus dilaksanakan sekarang juga sebelum kehilangan pembelajaran yang sedang kita alami kini menjadi sebuah masalah kekal.
Analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2019 menunjukkan daripada 416,416 calon berdaftar, seramai 22,923 calon gagal subjek Bahasa Melayu, 75,360 calon gagal subjek Bahasa Inggeris dan 71,797 calon gagal subjek Matematik.
Ini bermakna sebelum pandemik hadir, puluhan ribu calon SPM telahpun gagal dan mendapat gred G dalam peperiksaan SPM. Ini termasuk 46,732 calon yang gagal subjek Sejarah dan bermakna sijil SPM mereka tidak akan diiktiraf.
Bahkan data KPM juga mendedahkan lebih dari 34,074 murid berhenti sekolah dan keciciran pada 2018. Seramai 21,316 lagi murid keciciran pada 2019. Semua ini berlaku sebelum pandemik COVID-19 hadir.
Paling ditakuti, krisis pembelajaran yang berlaku akibat pandemik ini akan berkembang menjadi krisis generasi untuk generasi yang mengalami kehilangan pembelajaran selama sekolah ditutup sebelum ini.
Manurut UNICEF, generasi pelajar ini berisiko kehilangan USD17 trilion dalam pendapatan seumur hidup dalam nilai semasa akibat penutupan sekolah, atau bersamaan dengan 14 peratus daripada KDNK global hari ini, jauh lebih tinggi daripada USD10 trilion dianggarkan pada 2020.
Untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana seperti Malaysia, kemiskinan pembelajaran di kalangan anak-anak yang sudah pun berlaku sebelum bermulanya pandemik akan meningkat sehingga lebih dari 70 peratus berdasarkan penutupan sekolah yang terlalu lama serta kualiti dan keberkesanan pembelajaran jarak jauh yang tidak berkesan.
Saya mencadangkan sebuah Jawatankuasa Pelan Pemulihan Pendidikan Pasca Pandemik ditubuhkan oleh KPM dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan penglibatan pihak swasta serta badan-badan bukan kerajaan untuk dilaksanakan dalam masa 5 tahun ke hadapan.
Lebih-lebih dengan pelbagai mutasi dan varian baharu, kita benar-benar tidak pasti sehingga bila agaknya pandemik ini akan hilang atau selesai.
Tulisan ini tersiar di portal Getaran.my pada 15 Disember 2021